Puisi Mohd Adid Ab Rahman


DUA DAERAH YANG BERJAUHAN

Di bibirmu tercetus mimpi sebuah kehidupan yang mewah
tidak kelihatan petani keluar pagi balik petang hidupkan sawah
makan tengah hari sangat sederhana, nasi dan ikan masin dan air sumur
atau seorang pemulung berpakaian rentung
memanfaatkan detik-detik sejauh hari mengais rezeki
aku kira nanti akan muncul insan berhati malaikat
lalu menghulurkan tangan

Pagi ini seperti juga pagi-pagi yang luput
embun selalu mengingatkan kejujuran hatimu
menyejuk dan membersihkan semacam nasihat orang tua
seandainya orang memberi racun penuh licik, jangan kecewa dan berang
berusahalah membalasnya dengan gula maka mesralah hubungan

Kita adalah dua daerah yang berjauhan tapi tak bersengketa
saling rindu merindui dan menunggu bilakah hari berjumpa
di antara kita, siapakah yang paling sabar dan setia
esok akan bercerita

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Melaka, 22 NOV 2021


PERSAHABATAN YANG KAUBINA TERLALU IKHLAS

Kawan lama yang terpuruk entah di daerah mana
melesap ke dalam lupa tak meninggalkan bekas
pernah dulu menyulut dadaku yang nyaris padam
kerana kecewa terlepas peluang
seperti wajah kota dilukakan lampu-lampu pecah ketika malam
suasana sungguh menyesatkan orang-orang mengharap cahaya
segera merekah sebagus senyummu leraikan sunyi resah jiwa
masih berdegup lagi sampai kini

Hari ini tiba-tiba kau muncul dengan masih kenal siapa aku
walaupun perubahan musim dan cuaca berputar tanpa jeda
dan kau duduk setaraf bintang-bintang setinggi harapan
namun persahabatan yang kaubina terlalu ikhlas 
jadikan jambatan kita kukuh sekali
sentiasa baru dan biru

Aku akan jejaki jalanmu, kawan
yang telah sampai di padang hijau
penuh udara segar dan sinar
bersama orang-orang yang diselubungi redha-Nya

Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Melaka, 22 nov 2021



BANGUN DI WAKTU PAGI BAYANGAN JIWA YANG INSAF

Pagi begitu akrab dengan dingin dan embun
serupa warna kejujuran yang terpalit di sekeping hati
namun ternyata hari ini bila bercakap yang benar
tidak dipedulikan kebanyakan orang malah dikatakan berlagak suci
mereka lebih senang menghalalkan cara 
asalkan mimpi terlaksana

Bangun di waktu pagi bayangan jiwa yang insaf
atas banyaknya kesalahan yang tercipta di hari semalam
seorang anak kecil belum mampu membaca dengan benar
berilah suluhan agar tampak jalan mana yang harus dijejaki 

Rinduku pun segera terbang menuju rumahmu 
kerana teringat senyuman yang memabukkan
dan itulah sebenarnya yang merawat sepi 
jika batin dilanda kemarau menjelma hujan 
yang menawarkan basah 
kebun yang subur pun menjadi

Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Selandar, Melaka
Malaysia 
7 Julai, 2021


Tentang Penulis


Mohd Adid Ab Rahman bermukim di Melaka, Malaysia. Pernah menimba ilmu di Universitas Islam Negeri Banda Aceh dalam bidang Dakwah. Kini mengajar di SMK Iskandar Shah, Melaka.  
Berminat dalam bidang puisi sejak masih belajar di sekolah.dan sekarang menjadi ahli Ikatan Persuratan Melayu Melaka. Puisi-puisi pernah muncul di Berita Harian, Utusan Borneo, Harian Ekspres, Mingguan Malaysia, majalah Dewan Sastera, Tamadun Islam, Wanita dan lain-lain. Sudah mempunyai puluhan antologi bersama di antaranya Antologi C Antagonis (ASWARA 2020) Bahtera Merdeka (Tinta Karya 2020) Pasrah (PTK 2020) Citra Yang Tak Padam ( Narangkai Publications 2021) Sejernih Embun (KS 2021)

Tags

Posting Komentar

0 Komentar
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.